SEPTEMBER 2021

Sarawak Diberi Perhatian Dalam RMK-12


KUALA LUMPUR: Rakyat di Sarawak akan mendapat tumpuan lebih besar dan diberi akses kepada pembangunan yang seimbang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai wakil rakyat dari Sarawak, mereka gembira melihat rancangan Malaysia kali ini jelas menunjukkan hasrat kerajaan untuk membangunkan serta merapatkan jurang sosioekonomi serta pendidikan di Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Saya menyambut baik RMK-12  yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

“Sebagai wakil rakyat dari Sarawak, saya menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap Sabah dan Sarawak seperti yang dijelaskan dalam pembentangan RMK-12,” katanya mengulas mengulas RMK-12 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata,melalui RMK-12 itu, Bumiputera Sabah dan Sarawak termasuk Dayak akan mendapat tumpuan lebih besar dan diberi akses kepada pembangunan yang seimbang.

Perdana Menteri, katanya, jelas menyebut, satu daripada sembilan fokus utama dalam RMK-12 menyentuh dua negeri ini iaitu melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-negeri Kurang Membangun.

“Saya berharap kerajaan sekarang akan terus mendapat mandat untuk memastikan pelaksanaan RMK-12 mengikut sasaran yang ditetapkan ketika perancangan dibuat,” katanya

Alexander Nanta yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, antara yang disebut komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan minyak, elektrik, aspek pendigital serta keselamatan.

“Selain itu, antara yang penting adalah pembinaan jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuh Raya Pan Borneo,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak supaya bersama-sama memastikan segala perancangan yang digariskan di bawah RMK-12 dapat dilaksana dan direalisasikan dengan jayanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti